Home | Looking for something? Sign In | New here? Sign Up | Log out

Berbalas pantun

Indah sekali si kain kasah
Bawa ke Kuala Pulau Bali
Esok hari kita berpisah
Bila pula nak jumpa kembali?

Sungguh indah cantiknya rupa
Gadis ayu leka menampi
Apa digundah saat berjumpa
Kita bertemu di dalam mimpi

Gadis ayu leka menampi
Padi ria di pinggir kota
Kalau bertemu di dalam mimpi
Bila terjaga tentu derita

Anak dara di dalam kota
Memakai kebaya menjemur ikan
Bila terjaga akan derita
Bolehkah saya tolong hiburkan?

Anak muda membawa obor
Anak dara membawa antan
Bagaimana pula adik nak hibur
Seorang utara seorang selatan

Baju kebaya dihias perada
Pakaian Palembang si gadis sunti
Saya cuma bergurau senda
Kenapa abang merasa hati?

Nampaknya kembang si bunga melati
Hendak dibawa ke Singapura
Memanglah abang merasa hati
Abang tak sangka adik berpura

Membawa seroja ke Inderapura
Menempuh gelombang ke Surabaya
Memang sengaja hamba berpura
Kerana abang kusangka buaya

Teratai berbunga di tengah paya
Hiasan bergaya di Gunung Daik
Jangan menghina kepada buaya
Cap buaya mutunya baik

Ketika air sedangnya naik
Jangan dirungkai si rakit balak
Masakan buaya mutunya baik
Sedangkan bangkai tak pernah ditolak

Indah bunga kembang setangkai
Subur pohonnya berbaja garam
Memang buaya tak tolak bangkai
Dari busuk baik dibaham

Buah tembikai buah berangan
Buah asam si limau purut
Memakan bangkai jangan sembarangan
Tersalah baham senak perut

Hendak menjaja si limau purut
Dijaja pula di Pekan Beruas
Biarlah buaya senak perut
Asalkan hatinya menjadi puas

Menanam halia bersama lengkuas
Lengkuas dibawa dari Kelantan
Diturut apa nafsu yang buas
Mungkin tersasul ke Tanjung Rambutan

Bersahut-sahutan si burung kenari
Di pohon seroja kepala titi
Ke Tanjung Rambutan memang kucari
Tak payah kerja bersenang hati

Bunga angsana sedang nak kembang
Mari suntingkan si anak dara
Sepuluh pemuda seperti abang
Pincang masyarakat rosaklah negara

Jalan bergaya di tanah rata
Sambil membawa si buah nanam
Umat negara berjuta-juta
Sepuluh pemuda pergilah jahanam

Anak dara termengah-mengah
Menumbuk lada bergulai lemak
Apa cara untuk mencegah
Para pemuda berambut semak?

Menjeling manja duduk berbeka
Melihat obor di Kota Batu
Mudah saja mengajar mereka
Cuba taburkan ibu kutu

Buah pinang kait berkayu
Mari jatuh di atas bata
Bila terkenang hatiku sayu
Orang jauh kedekut berita?

Mencari remis pakai kelumbung
Sambil menjeling menggoda hati
Mengapa mengemis teman nan sombong
Kawan keliling ramai menanti

Bunga bersulam begitu rapi
Hendak berdandan lepas berbaring
Siang malam termimpi-mimpi
Hingga badan kurus kering

Burung undan burung kedidi
Terbang tajam ke pohon dudur
Padanlah badan menjadi lidi
24 jam asyik tidur

Menjaja papaya di dalam raga
Ke Pekan Cina berjalan laju
Di kiri buaya di kanan naga
Hala mana hendak dituju?

Paduka Ratu memburu rusa
Menuju rakit tepi pangkalan
Kalau begitu keadaan memaksa
Tempahlah roket terbang ke bulan

Menahan lukah di air tenang
Sambil berdiri di atas perahu
Sudah bernikah ingin nak senang
Sayang isteri masak tak tahu

Tentera Sekutu lari berkejar
Menempuh badai air menderu
Isteri begitu mesti diajar
Mamak kedai jadikan guru

Ubi kentang kalau ditumis
Campur tauge masaknya kari
Minta berhutang bermuka manis
Bila ditagih melari diri

Ke Kota Batu menjelang fajar
Resah hasrat membawa tekad
Orang begitu mudah diajar
Tulis surat cara poskad

Pergi berburu di hujung ladang
Letih berjalan sakit kaki
Penyanyi baru selalu berdendang
Bersuara perempuan tetapi lelaki

Kelapa puan di dalam tangki
Hendak dijaja Kampung Pandan
Suara perempuan tetapi lelaki
Namakan saja si Pop Pondan

Anak dara pergi membasuh
Sambil ketawa bertolak-tolakan
Kalau negara diserang musuh
Badan dan nyawa saya serahkan

Dua sejoli riang ketawa
Ketika senja di Tanjung Rhu
Bodoh sekali menyerah jiwa
Muntahkan saja dengan peluru

Tuan Kadi dari Yunani
Datang menghadap di istana Mengkalis
Rasuah terjadi di sana sini
Tetapi tertangkap si ikan bilis?

Ke pekan sehari membeli rokok
Sambil menjaja si buah limau
Yu dan pari boleh dibekuk
Gunakan saja pukat harimau

Ribut berputar kemarau panjang
Menerbangkan atap lintang-pukang
Usah digentar untuk berjuang
Hamba tetap berdiri di belakang

Berdayung sampan pergi ke hulu
Belayar tongkang ke Inderagiri
Orang hadapan lingkup dahulu
Tuan di belakang cabut lari

Malam hari di Kota Lukut
Majlis berdikir penuh keriangan
Bukan lari kerana takut
Tapi berfikir mengatur rancangan

Indah berwarna arca diukir
Ternyata molek andai dibasuh
Macam mana hendak berfikir
Kepala dah kemek digodam musuh

0 komentar:

Posting Komentar

 

free counters

Followers Bu-Share

Jam Sekarang
Tanggal
Salam Sapa :
Status Admin : Online*
User : User Online